Sunday, June 14, 2009

ALfatihah atas pemergian seorang lagi seniman..

BELASUNGKAWA ~ Shukery Hashim (1954 - 10 Jun 2009)




Masakan tidak, tepat jam 1.45 tengah hari semalam, pelakon Shukery Hashim pergi menyahut panggilan Ilahi, pada ketika peminat mengharapkan dia terus berbakti di arena seni. Berusia 55 tahun, Shukery atau nama sebenarnya, Mohamad Shukery Hashim disahkan meninggal dunia akibat penyakit barah pankreas di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Allahyarham meninggalkan seorang balu, Faridah Mat Desa, 51, lima anak - Norshikin, 28, Norizety, 26, Mohd Firdza, 25, Mohd Aidil, 22 dan Mohd Amirul, 14, serta tiga cucu.Jenazahnya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat selepas solat Asar, kelmarin.Allahyarham yang memulakan karier lakonannya pada 1984, lebih dulu terbabit dalam drama radio sejak 1975 melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM). Sebagai pelakon drama popular, Allahyarham pernah menerima tiga anugerah seperti Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990, Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular Berita Harian (1995).Namun, lakonan mantapnya dalam filem Rahsia arahan Othman Hafsham di samping Noor Kumalasari, Datuk Yusof Haslam, Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan Allahyarhamah Noraini Hashim pada 1987 melayakkannya dicalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7.Sekalipun tewas, tawaran berlakon untuk Shukery tidak putus apabila Allahyarham dilamar membintangi filem Ujang pada 1989 sebagai pelakon utama. Diikuti filem Syahadat (1992) selaku pelakon pembantu, Seri Dewi Malam (2001-pelakon pembantu), Janji Diana (2003- pelakon tambahan) dan Shh...Dia Datang (2009- pelakon pembantu).

Berlakon dalam ratusan drama, Shukery dilahirkan pada 1954 dan anak jati Langkawi.
Antara drama yang pernah dibintangi Allahyarham ialah Airmata Maria, A.D.A.M, Hadiah Pengorbanan, Cinta Keropok Lekor, Manjalara Cinta Gila dan Rempit Vs Impak Maksima. Ketika usia mudanya, Allahyarham mendapat pendidikan di merata tempat termasuk Sekolah St Michael, Alor Star dan Sekolah Jalan Raja Muda yang dulunya dikenali dengan Princess Road School. Barah pankreas dihidapi Shukery mencapai tahap empat pada Mac lalu. Allahyarham memang tidak tahu dirinya menghidap kanser, namun, Allahyarham mengalami sakit perut berlarutan sejak dua bulan lalu yang menyebabkannya melakukan pemeriksaan lanjut di Hospital Ampang. Apabila pemeriksaan x-ray dilakukan, doktor mendapati terdapat bengkak di pankreas dan kesnya dirujuk ke Hospital Selayang untuk pembedahan dan Allahyarham disahkan menghidap kanser pankreas tahap serius yang sudah merebak ke hati.Dimasukkan ke Hospital Selayang pada 22 April lalu, dua hari selepas itu yakni pada 24 April Allahyarham menjalani pembedahan membuang pankreas yang rosak selama enam jam. Allahyarham dibenarkan pulang ke rumah pada 27 April lalu.Apapun, penyakit barah dihidap Allahyarham tidak menunjukkan perubahan walaupun selepas dibedah. Bagaimanapun, Allahyarham turut mendapatkan sesi kemoterapi di HUKM pada 4 Mei lalu. Sayang sekali, takdir Ilahi sudah menjemputnya.Kematian yang tidak mampu ditolak dalam kehidupan amat memilukan. Kini, negara kehilangan seorang lagi anak seni yang berbakat besar dalam lakonan dan lakonannya yang tergolong dalam kelas tersendiri akan tetap di kenang sehingga akhir zaman.