Oleh Elrafaei Sapi
KETIKA hayat dikandung badan, Allahyarham Mohamad Nasir Ali, 55, gigih berlakon. Walaupun sekadar watak pembantu, ia bukan alasan untuknya menolak rezeki. Malah, di kalangan rakan rapat yang mengenali Allahyarham sedia maklum beliau begitu bersemangat untuk berlakon.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.45 pagi Jumaat lalu di kediamannya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, akibat penyakit kencing manis. Ketika meninggal dunia, isterinya Kadariyah Yup berada di sisi Allahyarham.Sebelum jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Gombak, selepas solat Jumaat, beberapa kenalan sempat menjenguk buat kali terakhir. Antara yang kelihatan Baharuddin Omar, Yalal Chin, Rosyam Nor, Zulkifli Ismail, Mohamad Fathil Mohamad Dani dan Ebby Yus.Pelakon popular, Rosyam Nor berkata semangat berlakon ditunjukkan Allahyarham berbeza dengan pelakon lain. Pernah bekerjasama untuk membintangi beberapa drama terbitan Suhan Movies, Rosyam tidak menyangka lakonan Allahyarham menerusi drama terbaru Kepadamu Kekasih adalah terakhir buatnya.Dalam drama arahan Haris Kadir itu, Allahyarham melakonkan karakter bapa yang mengidap penyakit strok hingga watak itu meninggal dunia. Allahyarham sempat berlakon dalam drama itu ketika penggambaran dilakukan sebelum Ramadan lalu."Ketika berlakon, dia nampak macam biasa walaupun kenalan rapat tahu dia mengidap kencing manis. Sepanjang mengenalinya, dia menunjukkan minat mendalam untuk berlakon."Baginya, dia tidak kisah berlakon apa saja watak. Pernah apabila saya bercerita dengan dia mengenai tawaran berlakon lain yang jauh dari Kuala Lumpur, dia tetap berminat untuk berlakon."Katanya, dia sanggup berlakon walaupun lokasi penggambaran jauh. Jarang dia menolak tawaran berlakon yang diberikan padanya."Boleh dikatakan, dia sanggup memperhambakan diri terhadap lakonan. Ini terbukti apabila semangat berlakon tidak pernah padam dalam diri hingga ke akhir hayat," katanya.Allahyarham juga berkesempatan membintangi drama terbaru, Alahai Anak Omak arahan Yusof Wahab yang menjalani penggambaran ketika Ramadan lalu. Menariknya, Allahyarham bukan saja ditawarkan untuk berlakon, tetapi diberi kepercayaan sebagai penolong pengarah.
Bagi Zulkifli Ismail, 45, perkenalan bersama Allahyarham bermula sejak awal 80-an meninggalkan banyak kenangan padanya. Mengimbas kembali kenangan lalu, Zulkifli sering kali mengikuti perkembangan Allahyarham menerusi aktiviti teater yang disertainya.
"Ketika itu pada 1983, saya belum berlakon dan masih bekerja sebagai wartawan. Namun, saya sering mengikuti perkembangannya yang aktif berlakon teater pada masa itu."Apabila saya melihat dia berlakon, saya juga berminat untuk cuba berlakon. Dalam usaha mencari peluang berlakon, suatu hari dia memberitahu saya supaya menghubungi seseorang di TV3 jika mahu berlakon."Lalu, sebaik saya menghubungi kenalannya, saya tidak menyangka saya dapat tawaran itu. Menariknya, saya ditawarkan watak hero menerusi drama Basikalku."Tidak mungkin saya melupakan jasa dia yang membawa saya ke bidang lakonan. Jika dilihat pada karakter, dia seorang yang sederhana dan tidak terlalu berbangga diri sebagai pelakon."Kehidupannya sama seperti orang lain dan sering ke mana-mana dengan motosikal," katanya.Sepanjang hidup, Allahyarham pernah membintangi enam filem iaitu Lagi-Lagi Senario pada 2001, Anak Mami The Movie (2002), Jutawan Fakir (2003), Lady Boss dan Anak Mami Kembali (2005) serta terbaru, Eee... Hantu!!! yang bakal ditayangkan pada tahun depan.Allahyarham juga aktif dalam bidang teater sebagai pengarah dan pelakon seperti pementasan Konvensyen Gila (1992), Bus Stop (1994) dan Orang-Orang Kecil (2003). Menariknya, Allahyarham adalah Pengasas kumpulan teater, Group Teater Artis Kreatif (Gerak) sejak awal 80-an dan pernah menimba kursus teater di National Institute Of Dramatic Art, Sydney, Australia. Pelakon Mohamad Fathil Mohamad Dani, 47, pula mengakui Allahyarham enggan mengalah pada penyakit yang dihadapi ketika bekerja. Apa yang ditunjukkan, Allahyarham bekerja dengan bersungguh-sungguh."Ada ketika, saya nampak dia sakit ketika berlakon. Namun selepas berehat seketika, dia masih bersemangat untuk sambung kembali."Saya menghormati semangat kerja dalam diri dia. Bukan semua orang bersemangat sepertinya dan karakternya patut dicontohi," katanya.
No comments:
Post a Comment