Monday, December 15, 2008

Allahyarhamah Yusni JaaFar (Ibu Yusni)




Oleh ABD. AZIZ ITAR


ALLAHYARHAM Yusni Jaafar merupakan antara insan yang begitu setia dan sayang terhadap bidang lakonan yang diceburinya sejak lebih 40 tahun lalu.Meskipun sudah mencecah usia 62 tetapi beliau tetap bersemangat berlakon filem mahupun drama kerana minat mendalam selain tidak mahu mengharapkan bantuan daripada anak-anaknya.Tahun lalu menyaksikan Allahyarham sempat membintangi filem Cuci arahan Hans Isaac biarpun keadaan kesihatannya tidaklah sebaik mana.Perkara itu diakui sendiri oleh anak kedua beliau iaitu Raja Ema Raja Ibrahim, 39, yang menyifatkan Allahyarham sebagai begitu ‘taat’ kepada dunia lakonan yang cukup diminatinya itu.“Bagi saya, dia (Allahyarham) seorang yang taat dan sayangkan dunia seni yang telah diceburinya selama ini. Saya pun tidak taat seperti itu.“Saya sendiri pun selepas berkahwin terus lari (meninggalkan bidang seni). Saya dapati arwah ibu saya memang suka dengan bidang seni,” katanya ketika ditemui selepas jenazah ibunya disembahyangkan di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, Selangor semalam.Menurut Raja Ema, sewaktu terlantar sakit di Hospital Selayang sejak 10 Mac lalu, Allahyarham pernah menyuarakan hasratnya untuk pulang dan berada di sisi anak-anaknya.“Saya akur dengan permintaan ibu. Ini kerana saya, ayah dan adik-beradik lain mahu ibu gembira. Walau macam-macam cerita yang kurang enak keluar di media massa tetapi arwah ibu mahu balik ke rumah.“Tetapi kami tidak menyangka hasrat ibu untuk pulang ke rumah itu antara tanda menunjukkan dia mahu ‘pulang’ buat selama-lamanya,” ujarnya.Penyanyi yang popular dengan lagu Angan-Angan dan Jejaka Idaman ini, menafikan berita bahawa hubungannya dengan Allahyarham agak renggang sejak kebelakangan ini.Sebaliknya, Raja Ema turut mengakui bahawa beliau cukup rapat dengan ibunya itu sejak dari kecil hinggalah kini.“Saya berada di sisi arwah ibu. Saya sempat membisikkan ke telinga ibu supaya mengucap dua kalimah syahadah selain adik-beradik saya yang lain membaca surah Yassin.“Selama ini pun saya membantu ibu sedaya upaya saya. Saya pernah memasukkan duit sebanyak RM100,000 ke dalam akaun Amanah Saham Nasional untuk kegunaan ibu.“Saya juga pernah menghantar ibu sekali mengerjakan haji dan empat kali menunaikan umrah di Mekah. Saya lakukan semua itu supaya ibu gembira,” katanya.Dalam pada itu, Raja Ema berasa terkilan apabila turut kedengaran khabar angin mengatakan arwah ibunya sudah bercerai dengan bapanya.“Memang saya ada terdengar khabar angin mengatakan ibu dan ayah saya sudah berpisah. Itu semua tidak betul. Berita seperti itu membuatkan saya rasa marah,” luahnya dalam nada kesal.Tambah Raja Ema, sewaktu hayatnya ibunya pernah berpesan kepada supaya bersabar dalam mengharungi kehidupan seharian.“Arwah ibu berpesan supaya saya bersabar kerana banyak dugaan yang telah saya lalui katanya. Arwah juga meminta supaya saya menjaga adik-adik perempuan saya,” katanya.Sementara itu, sahabat rapat Yusni, Datuk Aziz Sattar tidak menyangka panggilan telefon yang diterima daripada Allahyarham Jumaat lalu merupakan panggilan yang terakhir.Aziz juga berasa sebak kerana tidak sempat bertemu dengan Allahyarham yang menyatakan hasratnya mahu keluar dari Hospital Selayang pada Ahad lalu.“Allahyarham memang rapat dengan saya. Apatah lagi, saya mengenali beliau sejak dia kecil lagi. Kalau ada apa-apa masalah termasuklah membabitkan anak-anaknya, Allahyarham bercerita dan mengadu kepada saya.“Malah, kami pernah tinggal berjiran selama tiga bulan ketika sama-sama tinggal menyewa di Pangsapuri DBKL di Ampang, Selangor,” ujarnya.Cerita Aziz atau lebih mesra dengan panggilan Pak Aziz, dia bukan setakat berkawan rapat dengan Yusni tetapi amat mengkagumi bakat Allahyarham dalam bidang lakonan.Jelasnya, pengalaman mengarahkan filem Setinggan pada 1981 yang dilakonkan oleh Allahyarham meninggalkan kenangan manis yang sukar untuk dilupakannya.“Dalam filem itu lakonannya cukup bagus sekali. Watak lakonan Allahyarham sesuai dengan susuk tubuhnya yang besar. Saya masih ingat lagi ketika itu beliau turut berlakon dengan Aziz dan Zulkefli M. Osman yang masih lagi kanak-kanak,” katanya.Sebagai adik Allahyarham, Sukarni Jaafar, 55, pula dilihat sering menjadi tumpuan setiap kali pelakon yang dilahirkan di Tumpat, Kelantan itu melalui saat-saat suka dan dukanya.Kata Sukarni yang juga pelakon popular pada tahun 1980-an, Allahyarham bukan sahaja merupakan kakaknya tetapi turut menganggapnya sebagai kawan dan ibunya sendiri.“Selama dia terlantar sakit di hospital, saya tidak pernah berenggang daripadanya. Saya ikuti apa juga kehendaknya. Contohnya, apa yang dia hendak makan saya akan cuba masak.“Tidak lama sebelum kakak saya itu meninggal dunia dia suruh saya masak kuih kasui dan dia makan sampai lima ketul,” ceritanya.Allahyarham yang mendirikan rumahtangga dengan Raja Ibrahim Raja Mansor pada 1966 dikurniakan lima anak iaitu Raja Iskandar, Raja Izat, Raja Ema, Raja Emi dan Raja Erna serta dikurniakan sembilan cucu.

No comments: