LUMRAH kehidupan, setiap yang bernyawa pasti akan rasai kematian, cuma yang membezakannya sama ada cepat atau lambat. Tidak terkecuali kalendar 2008 mencatat peristiwa sedih dengan kematian beberapa artis dan penggiat seni tanah air akibat pelbagai penyakit dan ada yang mati mengejut.
Awal 2008, kita dikejutkan dengan pemergian bekas Pengarah Radio RTM, Mohamed Safian Abdul Ghani, 70, yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada 2 Januari lalu jam 9.45 pagi.
Kemudian, pada 30 Januari, penulis lirik dan pelakon, Rosli Khamis atau Loloq meninggal dunia jam 1.37 tengah hari di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur selepas koma beberapa hari akibat pendarahan otak.Ketika menghembuskan nafas terakhir, isteri Allahyarham, Hariyah Yaacob, 36, berada di sisinya. Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu Krsty Nur, 10; Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh.Selang 19 hari selepas kematian Loloq, kita kehilangan pula penulis lirik dan lagu.
Salamah Basiron yang menemui ajal di Jurong West, Singapura pada 18 Februari, jam 3.15 petang pada usia 65 tahun akibat barah pangkal rahim. Allahyarham dikurniakan tiga anak; Ersin Diana, 37, Firdaus Ilham; 34, dan Ennie Mulyani Mohd Yunos, 31.Allahyarham yang juga popular menerusi nama pena Hanimasra menghasilkan lebih 100 lagu dan lirik untuk penyanyi angkatan pop yeh yeh seperti Jefrydin, Karim Jais, Datin Rafeah Buang, Zam Zam, S Anida, Salim I dan Ida & The Zurah.
Selepas 15 tahun menderita penyakit kencing manis, pelakon veteran, Maimunah Abdullah, 72, akhirnya menghembus nafas terakhir di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur, Khamis pada jam 6.30 pagi, 28 Februari lalu. Jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Melayu, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah membintangi drama, Pahit-Pahit Manis selain beberapa drama disiarkan RTM sekitar 1980-an di bawah arahan pengarah Rosli Jalil, di samping menjayakan watak ibu bersama pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hasan dan Azean Irdawaty.
Paling menyedihkan, pemergian pelakon Yazid Sobrani atau nama sebenarnya Abd Yaziz Sobrani, 44, yang meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi 17 Mac di Hospital Melaka selepas sekian lama mengalami komplikasi termasuk penyakit jantung dan paru-paru berair.Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norashah Mohd Rashid, 43, dan lima anak iaitu Nurul Hazwani, 23, Mohd Shafik, 22, Nurul Intan Shafinaz, 16, Mohd Amirul Shafuan, 14, dan Muhamad Salehan, 13. Jenazah Yazid yang dilahirkan 17 Januari 1964 di Kuala Perlis dibawa ke kampungnya untuk dikebumikan di sana.
Sehari kemudian, Pengarah Kreatif dan Penata Bunyi, Abdul Jalil Ngah, 51, yang juga abang komposer Manan Ngah menghadap Ilahi kira-kira jam 6.30 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur akibat sakit jantung.Arwah yang dilahirkan di Kuala Terengganu meninggalkan seorang balu, Jalina Mustafa, 34, dan dua anak iaitu Adham, 11, dan Afrina, 8. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Siti Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Meninggal pada hari sama, pelakon veteran era studio Jalan Ampas, Singapura, Mohd Ali Abd Rahman, 82, menghembuskan nafas terakhir jam 11.15 malam di kediaman adik perempuannya di Kampung Pasir, Changkat Jering, Perak akibat sakit tua.Allahyarham yang lebih dikenali dengan nama Ali Rahman dilahirkan di Terong, Changkat Jering, Perak pada 1926 dan meninggalkan lima anak, manakala isterinya sudah meninggal dunia.
Pada 1 April pula, pelakon dan pelawak, Yusni Jaafar Siddik, 62, meninggal dunia jam 2.30 pagi di Hospital Selayang akibat penyakit hati dan pendarahan dalam perut. Allahyarham meninggalkan lima anak iaitu Raja Iskandar, 41, Raja Ema, 39, Raja Izat, 37, Raja Emey, 30, dan Raja Erna, 23.
Sehari selepas pemergian Allahyarham Yusni Jaafar, penerbit dan pengarah, Datuk Meswan Dol, 51, atau Yuzwan Wahid meninggal dunia jam 10 pagi di Pusat Perubatan Shah Alam selepas menerima rawatan intensif di sana selama tiga minggu.Semua ahli keluarga termasuk isteri, Datin Azizah Ibrahim; anak, Zariyatul Akma, Mohd Helmi, dan Nurul Najiha berada di sisi Allahyarham ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.
Bekas anggota kumpulan A To Z, Affendey Zainon, 39, atau Fendi meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi 23 April akibat diserang strok selepas menjalani rawatan tiga hari di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Siti Norma Md Akhir, 58, dan bapanya, Zainon Cha, 58.
Penyanyi popular era 60-an, Salim Ifi atau dikenali sebagai Salim I pula meninggal dunia jam 7.15 pagi 24 April di Hospital Universiti Nasional, Singapura akibat komplikasi paru-paru yang dihidapi.Bintang Pop Yeh Yeh itu meninggalkan balu, Timah Osman, 66, dan lima anak, Zainuddin, 48, Zubaidah, 47, Jamal, Titin Suriati, 39, dan Rudy, 29, serta sembilan cucu. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Abadi, Jalan Chua Chu Kang, Singapura.
Penyampai radio yang popular dengan panggilan Riqbal atau nama sebenarnya, Ahmad Alwani Amir Hamzah, 40, menemui ajal akibat angin ahmar di Hospital Putrajaya, jam 2.15 pagi pada 11 Mei. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, Hulu Klang.
Kemudian pemuzik dan komposer terkenal, Rahim Hamzah, 53, meninggal dunia kira-kira jam 10.15 pagi pada 17 Jun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur akibat barah usus di hadapan isteri, Siti Aishah, 50, saudara- mara dan sahabat handai.Allahyarham adalah anak kepada penggesek biola terkenal tanah air, Allahyarham Hamzah Dolmat dan pernah menganggotai kumpulan The Stroller, The Falcon, Headwind dan Free Birds selain pernah mengiringi kumpulan Blues Gang pada penghujung 70-an dan awal 80-an. Allahyarham juga meninggalkan dua anak, Aryzam, 27, dan Aryzea Dora, 22, hasil perkahwinan pertama bersama bekas isteri, Endon Rani, 48.
Penulis lirik dan Pengarah Urusan Toba Records, Abdul Rahman Yusuf, 55 atau lebih dikenali sebagai Man Toba pula meninggal dunia jam 5.05 petang 27 Jun lalu akibat serangan jantung di kampung kelahirannya di Slim River, Perak. Allahyarham meninggalkan isteri, Norehan Ismail serta lima anak, Noor Izzudin, 27, Noor Nissa, 26, Noor Nadia, 22, Noor Nabila, 20 dan Noor Iman Aiman, 15.
Seniman veteran, Datuk Ahmad Mahmud, 85, yang popular dengan watak Dr Ismadi dalam filem Ibu Mertuaku pula menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Tunku, Petaling Jaya kira-kira jam 10 malam, 28 Ogos.Allahyarham yang dilahirkan pada 3 Januari 1923 di Rembau, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu, Datin Khatijah Mohammad, 80, serta tiga anak iaitu Rogayah, 56; Siti Fatimah, 54, dan Mohd Ariffin, 52. Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Tunku, Petaling Jaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, dunia seni kehilangan penulis lirik, Haron Abdul Majid, 59, yang meninggal dunia akibat penyakit barah otak dan kanser usus pada jam 8.48 pagi ketika umat Islam di Singapura selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 1 Oktober.
Pelakon popular era 1970-an, Mokhtaruddin Mohd Said (Mokhtaruddin), 59, pula kehilangan isteri, Sharifah Tahiyah Syed Mahmud, 51, yang kembali ke rahmatullah pada 29 Oktober lalu. Sharifah Tahiyah meninggal dunia di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Pelakon dan usahawan, Raffi Hussain atau nama sebenarnya, Mohd Rofi Che Hussain pula menemui Ilahi sehari sebelum ulang tahunnya yang ke-49 pada 14 Oktober kerana sesak nafas akibat serangan jantung di rumah ibunya, di rumah ibunya di Batu Caves, Gombak. Allahyarham kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam.Allahyarham meninggalkan seorang balu, Zawinunie Mohd Ramly, 34, serta empat anak iaitu Mohd Warith Iqbal Putra, 6, Mohd Razafiq Putra, 11, Puteri Ratna Sari, 14, dan Mohd Indraputra, 15. Jenazah kemudian dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah.
Pemegang watak Tapa yang popular menerusi drama bersiri Rumah Kedai era 90-an, Sudiro Sukiman, 49, menyahut panggilan Ilahi kira-kira jam 12.15 tengah hari 17 Oktober disebabkan saluran injap jantungnya gagal berfungsi dengan baik. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang.Bekas pemain gitar kumpulan rock terkenal, Lefthanded, Abdul Samat Mian, 45, pula meninggal dunia selepas terjatuh di pejabatnya di Taman Cahaya, Ampang kira-kira jam 12.40 tengah hari 23 Oktober. Allahyarham kemudian disahkan meninggal dunia jam 1.05 tengah hari akibat masalah jantung.Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jami'il Huda, Hulu Langat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 13, Hulu Langat. Allahyarham yang dilahirkan pada 26 September 1963 di Johor Bahru, Johor meninggalkan seorang balu, Norliza Sumairi, 41, serta empat cahaya iaitu Alif Asyraf Syafiq, 18, Amad Ayunda Syaqim, 17, Alis Suhayana, 15, dan Amad Syafry, 6.
Pada 26 Oktober lalu, kita dikejutkan dengan pemergian ke rahmatullah anak angkat Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sabarudin Ramli atau Badim yang pernah muncul dalam filem Ahmad Albab ketika masih bayi. Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi di Hospital Kuala Kubu Bharu, Selangor.Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Desa Kaloi, Hulu Yam Baru. Allahyarham yang berusia 42 tahun meninggal dunia akibat penyakit paru-paru berair dan sebelum ini pernah menghidap penyakit batuk kering.
Pelakon,Fasilitator PLKN,Pengerusi GERAK dan aktivitis teater, Mohamad Nasir Ali, 55, pula meninggal dunia di rumahnya, di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, jam 3.45 pagi 31 Oktober lalu juga merupakan hari terakhir aidilfitri. Allahyarham yang menghidap penyakit kencing manis sejak empat tahun lalu mengalami luka kecil di kaki selepas pulang beraya di utara,beliau keluar dari hospital pd 13hb oktober selepas diberitahu kakinya perlu dipotong ,beliau enggan kakinya dipotong dan pulang ke rumah.3 hari sebelum meninggal dunia beliau mula terlantar dan masih enggan ke hospital sehingga menghembuskan nafas terakhirnya sebelum sempat menerima bantuan dari ambulan yang tiba dirumahnya. beliau tidak sedarkan diri ketika tidur hanya mampu membuka matanya untuk kali terakhir sambil menitiskan air mata menatap raut wajah isterinya pn kadariyah dan anaknya ilya shazannas juga merupakan ahli persatuan pekerja filem malaysia(PPFM)yang berada disisinya sebelum beliau menutup rapat matanya,menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang seperti dalam keadaan tidur .Allahyarham meninggalkan seorang balu, Kadariyah Yup, 55, dan empat anak, Darmawar Shahienas, 30, Nurulely Shafienas, 28, Ilya Shazannas, 25, dan Lelliyana Rus Shatznas, 18.
Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan, 78, yang meninggal dunia pada 30 November di kediamannya di Jalan Sungai Kerai, Kuang, mengejutkan ramai pihak apabila dipercayai menjadi mangsa rompakan.Namun, siasatan polis dan bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah. Rekod perubatan lampau menunjukkan Allahyarham pernah mendapat rawatan di hospital berikutan diserang angin ahmar sejak tiga tahun lalu selain sakit tua. Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Tanggal 17 Disember, pewaris tunggal Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Nasir P Ramlee menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 5.10 petang di Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi jantung dan kencing manis pada usia 55 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur berhampiran pusara bapa dan ibu tirinya, Saloma.Allahyarham meninggalkan balu, Suria Bakar, 55, dan tujuh anak termasuk daripada dua perkahwinannya terdahulu. Bersama Suria, Nasir mempunyai dua anak, Zaidi, 17, dan Zakaria, 16. Manakala bersama isteri pertamanya, Mariati Abd Rahman, 55, mereka mempunyai tiga anak, Gunina, 37, Gunawan, 35, dan Gurnarisasca, 31. Bersama isteri keduanya, Rashidah Jaafar, mereka dikurnikan dua anak, Natasya, 23, dan Najua (Nadia), 22.
Walaupun pemergian mereka masih lagi berbekas di hati namun sumbangan insan berkenaan dalam memartabatkan industri seni tanah air akan terus dikenang. Sekalung takziah buat semua keluarga mereka bersama iringan doa dihulurkan buat yang tercinta. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah. Al-Fatihah
bersamalah kita mengiringi mereka dengan al fatihah dan surah Yaasin.
"Daripada Ma'qal bin yaasar r.a,bahawasanya telah bersabda Rasulullah SAW,"Hati alquran ialah yaasin,tidaklah dibaca akan dia oleh seorang lelaki yang mengharapkan allah dan kampung akhirat melainkankan diampun oleh allah dosanya,dan bacalah surah yaasin kepada mereka yang hampir akan mati selepas mati". (HR AHMAD,ABU DAUD dan AN NASAAI.)
1 comment:
hampir 10 thn pergi baru aku tahu nama nasir ali....sebelum ini aku hanya menonton drama2 dia saja tanpa mengetahui namanya kerana kebanyakan watak yg dipegangnya kecil saja....masa dia dikuburkan aku masih ingat yalal chin memberi penghargaan kepada nasir ali di kaca tv...kini yalal chin pn tinggal kenangan..cepatnya masa berlalu--al-Fatihah :(
Post a Comment