Sunday, May 3, 2009

M Rajoli masih menderita penyakit kelenjar otak



TIADA detik yang lebih menggembirakan suri rumah, Hassimah Mat Din, selain melihat suaminya, M Rajoli tersenyum gembira menerima kunjungan lebih 20 rakan artis di kediaman mereka di Menara Rajawali, AU2 Keramat, Kuala Lumpur, petang Khamis lalu. Hassimah atau lebih gemar membahasakan dirinya Kak Mah berkata, kunjungan di luar jangkaan itu secara tidak langsung menjadi penawar kepada suaminya yang menghidap kanser di kelenjar otak (lymphoma) sejak setahun lalu. "Alhamdulillah, nampak beliau gembira menerima kunjungan rakan artis, termasuk beberapa seniman veteran seperti Anjang Aki (Baharuddin Haji Omar) dan Pak Aziz (Datuk Aziz Sattar). Terubat jugalah kerinduan untuk bertemu beberapa rakan lamanya.
"Maklumlah, beliau lebih banyak menghabiskan masa di rumah sejak keluar hospital, 10 Oktober lalu dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak. Sekurang-kurang kehadiran rakan artis memberi sokongan moral kepadanya untuk kembali pulih seperti sedia kala," katanya kepada B*Pop.



Selain Baharuddin dan Aziz, rombongan artis yang diketuai Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu yang juga Penerbit Eksekutif Excellent Pictures, Ahmad Idham Ahmad Nazri itu ialah Pengarah Urusan Global Network Entertainment, Den Wahab; Rebecca Nur Islam, Anne Abdullah, Kasmadiana dan Sharifah Shahira. Bagaimanapun, isteri kedua Rajoli, yang juga pelakon veteran, Wan Chik Daud tidak kelihatan. Tidak ketinggalan pelakon Aida Aris, Imuda, Sulaiman Yassin, Lan Zailan dan Noniswara, selain wakil Juara Raja Lawak Astro (Musim Kedua), Nabil yang baru saja dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Kesempatan itu turut digunakan oleh artis terbabit untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian, selain bantuan kewangan bagi membantu membiayai kos perubatan M Rajoli, termasuk program fisioterapi di sebuah klinik di Taman Melawati, Hulu Klang. Malah, Den turut bermurah hati menaja khidmat tukang urut berpengalaman, Wak Hassan yang didatangkan khas dari Pulau Jawa, Indonesia untuk memberikan rawatan kepada pelakon itu yang terkenal dengan watak warak yang sering dilakonkannya. Berbanding keadaannya sebelum ini, wakil B*Pop mendapati M Rajoli ayau nama sebenarnya, Mohd Rajoli Mohd Zain semakin menunjukkan perkembangan positif, termasuk kemampuan bercakap walaupun tidak jelas, selain ceria dan berat badan bertambah.
Kak Mah berkata, suaminya menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini, sekali gus memberikan harapan kepadanya, begitu juga anak-anak untuk melihatnya kembali pulih seperti dulu, seterusnya beraksi di kaca TV dan layar perak. "Syukurlah, memang nampak perubahan pada dirinya sejak mengikut fisioterapi sebanyak tiga kali seminggu di Taman Melawati bagi menguatkan semula otot dan sistem sarafnya. Saya dan anak-anak sentiasa berdoa agar dia pulih sepenuhnya dengan pelbagai ikhtiar yang dilakukan," katanya

No comments: