Thursday, January 22, 2009

semoga Uncle M.rajoli sembuh sediakala




SELEPAS setahun berlalu, pelakon versatil, M Rajoli yang menghidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma kini menunjukkan perubahan positif apabila mampu berdiri sendiri walaupun terpaksa berpaut untuk menyokongnya.
Sejak menjalani pembedahan di bahagian otak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 11 Oktober tahun lalu, M Rajoli atau nama sebenarnya, Mohd Rajoli @ Mohd Rajab Mohamed disahkan lemah saraf sehingga menyukarkannya bergerak.
Dia kemudian keluar masuk HKL dan Hospital Ampang menjalani rawatan lanjut termasuk kimoterapi dalam tempoh setahun. Selesai rawatan kimoterapi, M Rajoli seterusnya menjalani fisioterapi di Bains Physio, Taman Melawati, Hulu Klang bermula Mei lalu.
Ketika ditemui di pusat rawatan berkenaan baru-baru ini, M Rajoli tekun menjalani latihan pemulihan merangkumi rawatan ultra sound, berjalan, urutan dan beberapa aktiviti di gimnasium.
“Alhamdulillah, sejak membuat fisioterapi, banyak perubahan pada diri saya. Kalau dulu tidak boleh berdiri, kini saya boleh cuba berdiri walaupun dengan berpaut. Saya sekarang memberi tumpuan penuh menjalani fisioterapi tiga kali seminggu iaitu Rabu, Khamis dan Jumaat.
“Syukur juga kerana pada Ramadan lalu, saya dapat berpuasa penuh seperti sebelumnya dan turut bersahur serta berbuka bersama keluarga. Malah, saya juga boleh makan apa saja dan tidak berpantang. Saya paling suka makan udang,” katanya yang kelihatan ceria walaupun bercakap perlahan-lahan.
Walaupun tidak dapat berjalan sendiri, M Rajoli gembira kerana dapat menyambut Aidilfitri di kampung isteri pertama, Hassimah Mat Din di Melaka selama dua hari dan empat anaknya sempat membawanya bersiar-siar di bandar Melaka.
Kebiasaannya, aktor kelahiran Pasir Mas, Kelantan pada 7 April 1945 itu berpuasa sunat dua bulan terus pada Rejab dan Syaaban sebelum disusuli puasa wajib pada Ramadan. Namun kali ini, dia hanya dapat berpuasa sebulan pada Ramadan saja kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Sementara itu isteri keduanya, Wan Chik Othman atau lebih dikenali sebagai Wan Chik Daud berkata, dia berterima kasih kepada beberapa agensi kerajaan dan produser filem seperti David Teo, Datuk Yusof Haslam serta Rashid Sibir yang memberi sumbangan selain sentiasa bertanya khabar perkembangan suaminya.
“Begitu juga dengan persatuan seni tanah air seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang memberikan pencen kepada suami sejak tahun lalu walaupun dia belum menjadi ahli. Ia diberikan atas dasar M Rajoli nama besar dalam industri seni tanah air, jadi soal keahlian tidak menjadi halangan.

No comments: