Friday, November 21, 2008

Allahyarham SUDIRO SUKIMAN (late of SUDIRO SUKIMAN)

Al-Fatihah: Sudiro Sukiman (pelakon Rumah Kedai)
17 October 2008 —

gelaran Tapa sebati dikalangan artis mahupun rakannya
PETALING JAYA: Pelakon popular dengan watak Tapa menerusi drama bersiri TV3, Rumah Kedai, Sudiro Sukiman, 49, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, dekat sini, jam 12.15 tengah hari tadi.
Allahyarham menghidap penyakit kencing manis, jantung dan buah pinggang sejak 10 tahun lalu, tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri di tempat meletak motosikal di pekarangan rumahnya di Pinggiran Subang ketika bersama anak saudara, Hafandy Abdul Hadi.
Menurut Hafandy, 21, bapa saudaranya itu mahu berkunjung ke rumahnya di Selayang Indah dan berhasrat bertemu rakan-rakan pada majlis Aidilfitri.
Allahyarham adalah anak sulung daripada tiga beradik dan berasal dari Selayang.
Sebelum ini, Allahyarham pernah berkhidmat dengan Grand Brilliance Sdn Bhd dan TV3 selama 10 tahun sejak 1995 dan kali terakhir memegang jawatan penolong penerbit program hiburan Muzik-Muzik.
Selain dikenali sebagai pelakon, Sudiro ialah tutor secara separuh masa di Universiti Malaya, mengajar subjek teater. Di samping drama popular Rumah Kedai, Allahyarham menulis skrip filem Jibon yang ditayangkan pada 1998.
Bagaimanapun, Allahyarham berhenti berlakon selepas mendapati penyakit yang dihidapi makin serius.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru, jam 6 petang tadi.
Sepatutnya malam ini, arwah berhajat menghadiri majlis Aidilfitri bersama rakan tetapi tidak berkesempatan apabila pergi menyahut panggilan Ilahi.
Majlis itu sebenarnya memberi makna mendalam kepadanya apabila ia perjumpaan semula antara pelakon drama popular itu yang turut dihadiri rakannya, Kartina Aziz dan Harun Salim Bachik. Dua hari sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, Kartina sempat menghubunginya untuk mengajaknya ke majlis itu.
Kata Kartina, 50, ketika bercakap menerusi telefon Sudiro beritahu dia tidak mahu menghadirinya kerana kesihatan tidak mengizinkan apatah lagi beliau berulang kali menyatakan dia akan meninggalkan rakan-rakannya buat selamanya.
“Beliau tidak suka meminta-minta. Penerbit drama Rumah Kedai, Mokhtar Abu Bakar mempunyai perancangan untuk menerbitkan semula drama itu untuk musim baru.
“Antara tujuannya ialah supaya Allahyarham dapat terus bekerja. Namun, perancangan itu tertangguh kerana Mokhtar belum menemui pelakon pengganti yang sesuai untuk membawakan watak Pak Halim yang sebelum ini dilakonkan Allahyarham Yusof Mohamad,” katanya.
Bagi Harun pula, kenangan selama tujuh tahun bersama Allahyarham ketika membintangi drama itu sukar dilupakan apatah lagi mereka bersama menimba pengalaman awal dalam bidang lakonan.
Sebaya dengan Allahyarham, Harun menyifatkan pemergiannya kehilangan besar persada hiburan tanah air. Allahyarham juga berbakat dalam penulisan skrip.
“Saya pernah mengarah dan berlakon menerusi skrip tulisan beliau, Badut. Allahyarham sememangnya berbakat menulis skrip khususnya mengenai kanak-kanak,” katanya.
Sungguhpun penyakit dihidapi Allahyarham sejak 10 tahun semakin serius sejak dua tahun lalu sehingga dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon tetapi dia masih bersemangat berkarya menerusi penulisan skrip dan persembahan boneka.
Selain drama Badut, Allahyarham pernah menghasilkan skrip drama Cucu Nenek Joyah dan filem terbaru, Baran. Walaupun pernah ada pihak tidak membayar skripnya, beliau tidak mahu memperbesarkan perkara itu.
Pada sambutan kemerdekaan negara yang lalu, Allahyarham sempat menghasilkan skrip drama Tok Mudim untuk RTM2. - Harian Metro

No comments: