Friday, November 21, 2008

Allahyarham RAFFI HUSSAIN (late of RAFFI HUSSAIN)


Al-Fatihah: Raffi Hussain (pelakon filem Azura)
14 October 2008 —



Arwah ketika zaman mudanya
WATAK Razif yang dipegang oleh Raffi Hussain, 49, dalam filem Azura mungkin antara yang paling diingati oleh peminat filem Melayu. Dalam filem itu, Razif adalah digambarkan sebagai watak jahat apabila dia dan kawan-kawannya membelasah Zakaria (Jamal Abdillah) kerana Zakaria meninggalkan kumpulan mereka selepas mengahwini Azura (Fauziah Datuk Ahmad Daud).
Azura antara filem yang dibintangi oleh Raffi dengan kebanyakannya menampilkan dirinya sebagai lelaki macho yang nakal atau jahat. Raffi juga berlakon dalam pelbagai genre filem daripada aksi hingga komedi. Selain Azura yang diterbitkan pada tahun 1984, filem lain yang pernah dibintanginya ialah Di Ambang Kasih (1984), Tujuh Biang Keladi (1984), Si Jantung Hati (1986), Mr Os (1987), Hero (1989) dan Pak Tam Duda (1989).
Pembabitan Raffi dalam dunia lakonan sekitar tahun 1990-an memang kurang menonjol. Bagaimanapun, beliau seperti kembali aktif dan agak menyerlah menerusi drama bersiri bertemakan sejarah dan era darurat iaitu VAT69 - Warisan Darah Perwira yang pernah disiarkan di RTM dan Astro Ria.
VAT69 ialah pasukan khas (komando) PDRM, juga dikenali sebagai Komando 69. Sesetengah pihak berpendapat, perletakan senjata oleh PKM sedikit sebanyak dipengaruhi oleh tindakan unit tersebut ke atas mereka ketika Darurat Kedua (1968-1989). Setakat ni siri ni menonjolkan sejarah penubuhan unit ini, latihan serta satu operasi di Perak sekitar lewat 1960an.
Susulan daripada kejayaan drama bersiri VAT69 itu, Raffi beralih menjadi produser filem dengan menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Raffi Hussain Corporation (M) Sdn Bhd. Projek pertama syarikatnya ialah menerbitkan filem mirip fantasi dan lagenda berjudul Tasik Chini. Beliau sungguh komited dengan projeknya itu dan tidak pernah putus asa walaupun skripnya pernah ditolak beberapa kali oleh panel penilaian Finas.
Kesabarannya berbaloi apabila selepas hampir empat tahun menunggu, akhirnya Jawatankuasa Panel Penilaian Skrip Finas memperakui skripnya. Finas kemudian mengeluarkan surat sokongan kepada beliau untuk membuat permohonan pinjaman berjumlah RM1.5 juta di bawah Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC). Beliau yang pernah datang ke Balai Berita untuk memaklumkan berita gembira ini, begitu berkobar-kobar mengenai filem Tasik Chini.
Dalam satu temu bual, Raffi mengakui beliau menghadapi sedikit masalah untuk mendapatkan pinjaman itu kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan kedudukan kewangan syarikat penerbitannya terlebih dahulu. Sejak itu, perkembangan mengenai pembikinan filem Tasik Chini tidak diketahui lagi.
Namun, harapan yang lama tersimpan itu tinggal menjadi kenangan apabila pelakon dan penyanyi yang memiliki nama sebenar, Mohd Rofi Che Hussain menghembuskan nafas terakhirnya, petang 14 Oktober lalu.
Ironinya anak seni kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menemui Ilahi sehari sebelum sambutan ulang tahunnya yang ke-49, 14 Oktober. Raffi meninggal dunia kerana sesak nafas akibat serangan jantung sekitar jam 7 malam ketika berada di kediaman ibunya di Batu Caves, Selangor. Jenazahnya dibawa ke Kampung Gual Jedok, Tanah Merah, Kelantan untuk dikebumikan.
Raffi sebenarnya mula mencipta nama sekitar 1970-an. Menyelak lembaran permulaan kariernya sebagai anak seni, pesona arwah menyerlah apabila karektor serta gayanya yang yang persis bintang rock & roll tersohor, Elvis Presley membuatkan dia digelar Elvis Malaysia.
Populariti dek gelaran itu membawa Raffi melangkah ke dunia seni secara komersial apabila memperoleh tawaran rakaman album. Album pertamanya, Raffi dirakamkan pada 1981 memuncakkan namanya menerusi lagu seperti Luka Lama Berdarah Kembali, Dansa Ayuh Dansa, Mari Menari Rock And Roll, Tangisan Di Waktu Malam dan banyak lagi.
Dua tahun selepas itu, Raffi mengukuhkan popularitinya sebagai penyanyi dengan kelahiran album kedua, Membara pada 1983. Sentuhan M Nasir dan A Ali yang bertindak sebagai komposer album itu memperluaskan lagi popularitinya menerusi lagu Saat Percintaan, Mencari, Gadis Penari Budaya dan Mula Jelingan Mata.
Tuah wajah kacak serta populariti yang dibinanya turut membawa Raffi melangkah ke dunia filem. Antara filem lakonannya adalah Azura yang turut menampilkan Jamal Abdillah, Fauziah Ahmad Daud dan Syed Sobrie selain Di Ambang Kasih, Mr Os dan Tujuh Biang Keladi.
Biarpun namanya semakin terpinggir namun dia tidak pernah sesekali melupakan bidang seni. Kecintaan terhadap dunia lakonan terus semarak dalam sanubarinya apabila dia membintangi filem terbaru, Gentayangan.
Sayangnya Raffi terlebih dulu pergi menyahut seruan Ilahi tanpa sempat menonton filem itu, malah turut membawa bersama harapan serta impiannya ke sebuah daerah abadi. Beliau meninggalkan seorang balu, Zawinunie Mohd. Ramli, 34, yang sarat mengandung tujuh bulan anak kelima mereka.
Allahyarham yang tinggal di Taman Pelangi Jaya, Sentul meninggalkan empat anak iaitu Mohd Warith Iqbal Putra, 6, Mohd Razafiq Putra, 11, Puteri Ratna Sari, 14, dan Mohd Indraputra, 15, yang sedang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). - Harian Metro

No comments: