Saturday, November 15, 2008

HaRga JASA SeoRang Karyawan Dan SeNiman..(UNtung Lagi Shah Rukh Khan hehehe)

Angkat imej Finas
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
PELANTIKAN Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim, 38, sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menggantikan Senator Tan Sri Jins Shamsudin, nyata mengejutkan penggiat seni kerana kurang mengenalinya.
Ini menyebabkan ramai yang hadir pada majlis ramah mesra bersama Razali anjuran Finas Khamis lalu, untuk mengetahui lebih lanjut latar belakangnya.

Razali mengakui, sejak dilantik secara rasmi pada 1 September lalu, ramai tertanya-tanya siapakah dirinya yang diberi kepercayaan untuk memegang jawatan tertinggi itu.

"Mulanya saya tidak mahu nama saya diumumkan dulu sebelum memulakan tugas kerana ingin mengetahui jawatan ini secara mendalam. Namun, apabila ramai mengetahui nama saya sebagai Pengerusi baru Finas, ramai yang tertanya-tanya siapa saya.

"Menariknya, apabila dilantik ada tiga perkara yang diperkatakan rakan saya. Pertama kata mereka, jika jumpa artis jangan lupa bawa bersama mereka. Ini bermakna, kehidupan glamor artis sentiasa berada dalam pemikiran masyarakat.

"Kedua, rakan saya meminta mengajak mereka sekali apabila menonton filem yang belum ditapis dan ketiga, ada juga rakan saya yang meminta tolong agar saya melakukan pemantauan pada program yang dilabel tidak sesuai untuk ditonton kanak-kanak," katanya ketika ditemui.

Tambah Razali, sebaik memulakan tugas, ada beberapa agenda awal yang ingin dilakukan. Perkara pertama, katanya, mahu menghapuskan persepsi negatif terhadap Finas yang dianggap skeptikal.

"Selain itu, saya melihat kewujudan banyak persatuan dalam bidang hiburan kita perlu diselesaikan. Kita boleh duduk berbincang mengenai soal persatuan dan menjaga kebajikan artis.

"Dalam pada itu, sejak mula bertugas di sini, saya mendapat banyak jemputan untuk menghadiri majlis anugerah. Pada saya, majlis anugerah yang diadakan untuk mengiktiraf artis memang baik tetapi jika terlalu banyak majlis anugerah, ia mungkin menjejaskan majlis anugerah itu sendiri.

"Walaupun saya bukan orang glamor dan mengaku tidak tahu banyak mengenai perfileman, saya percaya dengan kerjasama semua pihak, kita dapat bangkitkan persada perfileman tanah air. Kerjasama ini membawa manfaat pada semua.

"Sebagai Pengerusi baru Finas, saya ingin membuka pejabat saya untuk menerima apa jua pandangan dan cadangan demi kebaikan persada hiburan tempatan.

"Dalam menjalankan tugas, saya berusaha menjaga amanah dan menjalankan tanggungjawab yang diberikan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal," katanya.

Mulai 1 September lalu, Razali diberi kontrak selama setahun untuk memegang jawatan Pengerusi Finas. Katanya, dia gembira dengan pelantikan itu dan berazam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan berbesar hati untuk berkenalan dengan penggiat seni termasuk pemimpin persatuan artis dan media.

Walaupun terikat dengan komitmen lain seperti masih memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Johor dan bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno, ia bukan halangan untuknya menjalankan tugas Pengerusi Finas.

Katanya, tanggungjawab dengan pelbagai jawatan cabaran buatnya kerana apa yang lebih penting, usahanya membantu menaikkan nama dan peranan Finas pada tahap membanggakan. Paling penting, beliau mahu persepsi negatif yang membuatkan pemikiran masyarakat kabur mengenai fungsi Finas perlu dipulihkan.

Soal majlis anugerah yang ingin ditegur, beliau mahu nilai prestij diberi tumpuan. Apa yang menjadi masalah, tiada penanda yang mengatakan sesebuah majlis anugerah itu lebih prestij berbanding majlis anugerah lain.

Namun, buat masa ini, beliau tidak membuat keputusan untuk membatalkan majlis anugerah yang dianggap tidak berprestij tetapi menyatakan perkara ini harus diteliti dan diperbaiki.

Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim pula menyambut baik kehadiran Razali yang menjadi pemimpin muda berkaliber, proaktif dan matang berdasarkan kepemimpinan dalam pelbagai jawatan sebelum ini.

Kemampuan Razali diyakini dan dipercayai mampu untuk memacu perkembangan persada hiburan tempatan selain memberikan perspektif baru dalam menterjemahkan Dasar Perfileman Negara (DFN).

"Finas akan terus melaksanakan strategi DFN yang memfokuskan aspek promosi dan pemasaran, pembangunan filem dokumentari dan animasi, pembangunan modal insan, kemudahan perfileman dan penyelidikan serta pembangunan.

"Dari aspek pemasaran, Finas juga menyerahkan alat audio video kepada 15 Kelab Pencinta Filem daripada 40 kelab termasuk dua di luar negara iaitu London dan Melbourne," katanya.

Pada majlis sama, Finas menyerahkan duti hiburan filem untuk tempoh Mei hingga Oktober tahun ini kepada sembilan penerbit filem.

Jumlah duti hiburan tertinggi diterima produksi Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) iaitu RM554,390.10 menerusi filem Otai, Gong, Mukhsin, Dunia Baru The Movie, Nana Tanjung 2 dan Senario Pemburu Emas Yamashita.

Penerima lain Tayangan Unggul Sdn Bhd menerusi Anak Halal dan Kala Malam Bulan Mengambang (RM338,791.50), KRU Communications Sdn Bhd untuk Duyung (RM330,626.50), Skop Production Sdn Bhd dengan Evolusi KL Drift (RM229,211.20), MIG Production Sdn Bhd menerusi 9 September dan Congkak (RM215,989.00), Sonata Film (M) Sdn Bhd dengan Qabil Khushry Qabil Igam (RM85,678.10), Astro Shaw Sdn Bhd untuk Diva (RM49,430.90), Starry Eye Production Sdn Bhd dengan Chermin (RM41,467.20) dan Infohibur Production Sdn Bhd untuk Orang Minyak (RM28,845.40).

Finas juga menyampaikan sumbangan Skim Belaan Artis kepada lima artis, Datin Umi Kalthum sebanyak RM10,000, Sharifah Aminah (RM5,000), Zainal Abdul Wahab atau Z Roslee (RM5,000), Allahyarham Raffi Hussein (RM3,000) dan Allahyarham Nasir
Ali (RM3,000).


ps
teringat pula adik kwn aku citer,ditanya abangnya esok adik dah besar nak jadi apa lalu dijawabnya "adik nak jadi macam Shah Rukh Khan senang JAdi Menteri" erk..tkejutkan pikir2lah anda.

No comments: